Kereta Sewa Malaysia

Kereta Sambung Bayar: Masalah Yang Anda Perlu Tahu

Kereta Sambung Bayar: Masalah Yang Anda Perlu Tahu

Salah satu isu yang sering dikaitkan dengan pemilikan kereta adalah isu kereta sambung bayar.

Membeli kereta second hand sudah sinonim di kalangan rakyat Malaysia. Ramai mengatakan sebab membeli kereta second hand adalah menjimatkan. Keinginan untuk membeli kereta terbantut kerana simpanan tidak mencukupi. Lalu cara termudah adalah dengan cara kereta sambung bayar.

Namun, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa membeli kereta sambung bayar ini sebenarnya tidak sah disisi undang-undang negara.

Ianya melibatkan beberapa pihak  dan terdapat akta undang-undang iaitu AKTA SEWA BELI 1967 yang boleh dipakai bagi menghukum pesalah yang terlibat.

Tahukah anda, dengan menjual kereta kepada seorang kenalan, kemudian baki dibayar sepenuhnya oleh kenalan anda itu, sebenarnya adalah salah di sisi undang-undang?

Menurut PDRM,  sesiapa yang didapati bersalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Di antara sebab kenapa pemilik asal kereta ingin menjual kereta dengan cara menyambung bayaran sahaja adalah mereka memerlukan duit dengan kadar segera.

Sebab lain adalah mungkin kereta mereka akan ditarik oleh pihak bank akibat tunggakan pembayaran kereta. Yang menjadi mangsanya adalah pembeli iaitu pemilik baru.

Perlu diingatkan bahawa pemilik kereta asal masih mempunyai perjanjian dengan pihak bank.

Jadi, secara sahnya kereta tersebut masih milik mereka walaupun pembeli sudah membayar duit kereta tersebut di bank setiap bulan. Banyak kemungkinan yang akan berlaku tanpa penjanjian hitam putih.


perjanjian beli kereta sambung

Berikut merupakan antara sebab masalah yang anda perlu tahu jika membeli atau menjual kereta sambung bayar ini:

Menjadi tanggungjawab penjual jika pembeli berhenti bayar

Kereta sambung bayar masih menjadi hak penjual walaupun si pembeli telah membeli dan menyambung bayaran kereta di bank.

Namun, ia akan menyukarkan si penjual sekiranya si pembeli berhenti membayar bayaran bulanan kereta di bank.

Pihak bank akan mencari dan mengejar penama kereta iaitu si penjual walaupun pada hakikatnya kereta itu telah dijual kepada orang lain.

Selain itu, jika ada saman yang dilakukan atas nama pembeli, saman tersebut akan dikenakan ke atas nama si penjual selagi mana hak kereta tersebut milik penjual.

Penjual tidak boleh melaporkan kepada polis

Jika perkara di atas berlaku, penjual tidak boleh melaporkan kepada pihak polis.

Hal ini kerana, isu sambung bayar kereta ini seolah-olah penjual dengan rela hati memberikan kereta miliknya kepada pembeli.

Jadi tiada istilah curi ataupun menipu kerana tiada perjanjian hitam putih di hadapan pihak bank.

Selain itu, nasib penjual mungkin akan bertambah teruk kerana pihak polis akan mengenakan tindakan undang-undang kerana sambung bayar kereta ini merupakan kesalahan.

Hak milik kereta tidak sah untuk pembeli

Jika tiada perjanjian dokumen berlaku di antara penjual, pembeli dan pihak bank, maka kereta tersebut tidak sah untuk dimilik oleh si pembeli.

Jadi, jika anda membeli kereta dengan cara menyambung bayaran di bank tanpa campur tangan pihak bank, dan anda diberikan grant kereta, berkemungkinan besar anda telah ditipu.

Tambahan, insurans kereta tersebut juga tidak menjadi hak milik pembeli kerana kenderaan tersebut bukan di atas nama pembeli.

Jika berlaku sebarang kemalangan, pembeli tidak boleh menuntut insurans kereta tersebut.

Jadi, sebelum anda terfikir untuk membeli kereta second hand, fikir terlebih dahulu dan buat keputusan yang bijak.

Jangan hanya kerana faktor kasihan kepada kawan yang kesusahan wang, anda pula yang tersepit dengan masalah yang anda sendiri cari.

Elakkan dari membeli kereta dengan cara menyambung bayaran bulan di bank.

Ingin dapatkan kereta sewa yang berkualiti tinggi serta dipercayai ramai?

Dapatkan perkhidmatan kereta sewa pelbagai jenis kereta untuk kemudahan anda.

Close Menu